Tuesday, 9 April 2013

Tanggungjawab Mahasiswa


Disini penulis suka untuk kongsikan artikel yang dipetik dari iluvislam.com.. memang ada benarnya.. bangkitlah wahai mahasiswa.. siapa lagi yang mampu membangunkan negara dan yang paling penting membangunkan islam kalau tidak kita yang bergelar mahasiswa.

"Tangungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada" 
Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. Antara tangungjawab dan amanah.



Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya. Mahasiswa adalah golongan yang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat.

Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikiranya, teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat keinginnannya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa. Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.

"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" Al-Kahfi:13

Impian dan cita-cita akan terlaksana dengan wujudnya keyakinan yang kuat, keikhlasan, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikanya.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepda mahasiswa iaitu:

a)     Keimanan
b)     Keikhlasan
c)     Semangat
d)     Usaha

Asas keimanan ialah hati yang bersih. Asas keikhlasan ialah jiwa yang suci. Asas semangatialah keinginan yang kuat. Asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini ada sifat yang wajib ada pada mahasiswa. Atas dasar ini dapat dilihat betapa peri pentingnya pemuda sebagai golongang yang tinggi idealisma dan aktivisma berperanan penting dalam perubahan kepada masyarakat khususnya dalam konteks universiti yang tercinta ini.

Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu

Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi.

Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab.

Seorang sarjana futuris ,Tofler (powershift -1991) turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan penguasaan mana – mana masyarakat bertamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi, kewangan, militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusia sejagat.

Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era yang dicengkam dengan arus sejagat, atau apa yang disebut globalisasi.

Dalam arus globalisasi ini, kapitalisma mencengkam dunia. Kita dapat melihat bagaimana yang kaya akan menguasai golongan miskin. Bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan. Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.

Jelas di sini mahasiswa perlu sedar. Mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kantungan ilmu yang penuh di dada. Mahasiswa perlu bangun tidak lagi alpa. Sangat sedih apabila semangat juang makin pudar dalam jiwa mahasiswa. Tidak kedengaran nada-nada pengharapan kepada mahasiswa daripada masyarakat.

Andai dahulunya mahasiswa ini adalah agen perubah masyarakat kini tidak lagi. Masyarakat sangat hampa pada kita. Kedangkalan dan kegagalan kita dalam menguasai ilmu sangat menyedihkan. Universiti sebagai pusat kecermerlangan ilmu tidak lagi dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa.

Keutamaan Mahasiswa

Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian? Akademi fantasia, Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini.

Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang sering mendabik dada sebagai golongan yang kulit tanpa isi atau kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini tidak menyuburkan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan.

Mahukah nilai begini terus dilabelkan pada mahasiswa? Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang negatif ini. Ayuh mahasiswa, bangun dan bersemangatlah! Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu.

Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.

Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapkali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan "Bacalah".

Angin perubahan

Marilah kita berubah. Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita membiarkan nama-nama kita terus diconteng-conteng, dicarik-carik lagi. Di samping perjuangan terus di semarakkan.

Keutamaan kecintaan ilmu jangan dikesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa. Jangan ditunggu esok.

Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan

Mencari Jalan Pulang


Abdullah Umar memandang jam di dinding biliknya. Ahh... sudah jam 3.45 petang. Terkocoh-kocoh dia bangun menuju ke bilik air lalu mengambil wudhu' untuk solat Zuhur. Leka benar dia dengan permainanCounter Strike di komputer. Sudah menjadi kebiasaan Abdullah bersolat pada akhir waktu. Padanya, tiada salahnya melewatkan solat. Solatnya masih sah sementelah ia masih dalam had waktu yang dibenarkan untuk menunaikan solat.

Abdullah tahu bahawa lebih afdal untuk menunaikan solat pada awal waktu namun dia kurang mengambil perhatian akan itu. Dia juga tahu bahawa solat adalah amalan manusia yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak namun Abdullah tetap begitu. Dia tetap liat untuk solat.

Dalam solat, kerap benar fikiran Abdullah menerawang hinggakan dia terlupa sudah berapa rakaat telah disempurnakannya. Abdullah asyik memikirkan permainan komputer yang dimainkannya sebentar tadi. Solatnya tidak khusyuk. Kerap kali begitu. Sukarnya untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat! Ahh... solat atau tidak sama sahaja. Tiada kesan pada Abdullah.

Abdullah berdoa ringkas. Doa dipanjatkan untuk ibu bapa dan dirinya. Tidak pula dia mendoakan saudara seIslam yang lain. Abdullah sangat mengetahui akan penderitaan dan penindasan yang berlaku kepada umat Islam di Syria, Palestin dan Myanmar serta umat Islam yang lain namun Abdullah tidak mendoakan keselamatan dan keamanan untuk mereka. Sebaliknya, Abdullah berasa beruntung sendiri kerana berada di negara yang aman.

Sekiranya Abdullah berada di tempat mereka, pastilah Abdullah mendambakan doa-doa daripada saudara seagama yang prihatin. Paling tidak, Allah mendengar doa dan insya-Allah, Allah akan makbulkan doanya. Maka, berkuranganlah perit derita yang mereka lalui. Umat Islam diibaratkan sebagai satu anggota badan. Apabila peha kanan dicubit, peha kiri turut terasa. Derita mereka sepatutnya menjadi derita Abdullah juga.

Abdullah juga seperti remaja lain yang mempunyai rasa ingin dicintai wanita. Sudah lama Abdullah berpasangan dengan Zila. Perkenalan yang membahagiakan itu terjadi ketika Abdullah dan Zila berada dalam semester dua peringkat pengajian diploma. Setiap hari mereka menghabiskan masa berjam lamanya untuk berbual sama ada melalui pesanan ringkas ataupun panggilan telefon.

Walaupun mereka sering bertemu, rindu antara mereka tidak pernah surut. Kerap kali mereka keluar berdua untuk makan bersama, menonton wayang dan membeli-belah. Dalam pelajaran pula, mereka berdua merupakan pelajar cemerlang di kolej mereka. Kebiasaannya pada setiap semester, CGPA mereka pasti di atas 3.50. Ramai rakan-rakan yang mencemburui kepintaran mereka, namun itulah rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah SWT yang sentiasa memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya yang gigih berusaha tanpa mengira tahap keimanan seseorang itu kepadaNya.

Walaupun begitu, jauh di sudut hati Abdullah ada terselit satu perasaan tidak tenteram. Solat dan Al-Quran tidak berjaya menegahnya daripada melakukan maksiat. Kadang-kala Abdullah mempersoalkan, jika solat menegah manusia daripada melakukan kemungkaran namun mengapa dia masih melakukan dosa dan maksiat. Di mana silapnya? Abdullah juga sering berzikir dan beristighfar namun Abdullah tidak menemui ketenangan daripadanya.

Abdullah cuba mencari makna di sebalik firman Allah SWT iaitu dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang namun mengapa Abdullah masih jauh daripada ketenangan? Dek kerana mencari ketenangan, Abdullah mengunjungi pusat karaoke, pusat snuker dan pernah sekali Abdullah ke kelab malam. Kunjungan Abdullah ke sana menimbulkan amarah bapanya. Bukan sahaja gagal menemui ketenangan yang dicari malah dirotan pula. Bapanya tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak sulungnya itu yang sepatutnya menjadi contoh dan pelindung kepada adik-adiknya mengunjungi kelab malam!

Satu hari ketika Abdullah di kedai buku, Abdullah terdengar sebuah lagu merdu yang didendangkan di radio. Abdullah segera mendekati corong suara untuk mendengar dengan lebih jelas lagi.

"Jalan pulang bukannya mudah, musuh nafsu ajak menyerah,
mohon taufik mohon hidayah, agar selamat dari fitnah."

Bait-bait lagu tersebut menyentuh hati Abdullah. Rasa sayu menggayut hati. Entah apa istimewanya lagu itu namun ia hampir-hampir mengalirkan air mata Abdullah. Pulang ke rumah, Abdullah bermuhasabah diri. Dia merasakan hidupnya selama ini banyak diluangkan untuk perkara sia-sia. Dia sepatutnya menjadi khalifah Allah yang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW namun banyak hal berkaitan Islam yang Abdullah abaikan.

Jauh benar beza dirinya dengan pemuda pada zaman Rasulullah SAW. Pemuda seperti Saidina Ali RA sanggup menawarkan nyawa sebagai galang ganti kepada nyawa Rasulullah SAW yang ingin dibunuh oleh Musyrikin Mekah. Betapa teguhnya iman Saidina Ali RA!

Mengenangkan betapa lemahnya iman, air mata Abdullah mengalir tanpa tertahan lagi. Segera, sejadah dicapai dan solat sunat taubat dilakukan. Lama Abdullah bersujud sambil diiringi air mata yang deras mengalir. Pada Allah ampunan diharapkan. Dalam doanya, "Saksikanlah Ya Allah, hari ini Abdullah Umar datang menyerah diri dan mengakui segala dosa. Ya Allah, ampunkan aku. Sungguh, aku sangat menzalimi diriku sendiri."

Abdullah memutuskan untuk bertemu Ustaz Hanafi, guru agama di sekolahnya dulu. Abdullah tahu, Ustaz Hanafi pasti bersedia membantunya. Apabila disoal tentang hidayah yang datang melalui lagu, kata Ustaz Hanafi, "Jika lagu tersebut mengajak kepada keesaan Allah dan mendatangkan keinsafan kepada kita, maka itulah hidayah daripada Allah. Abdullah, bersyukurlah Allah mengurniakanmu hidayah. Hargailah... takut-takut ini hidayah yang terakhir."

Abdullah pulang dengan hati penuh penyesalan. Abdullah bertekad untuk memelihara hidayah yang diperolehinya. Ibu dan bapa Abdullah sangat menyenangi perubahan Abdullah. Dinamakan Abdullah Umar sempena Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang soleh. Sudah tentu ibu bapanya mendambakan zuriat mereka itu juga soleh.

Kini Abdullah fahami, kebaikan dan dosa tidak boleh dicampurkan. Berpasangan dan melakukan perkara yang sia-sia yang lain menambahkan lalai di hati Abdullah. Ia membuatkan Abdullah semakin jauh daripada cinta Allah. Abdullah juga tidak merasakan kemanisan beribadah kepada Allah. Dia belajar untuk bersyukur dan menghayati setiap bait zikir yang dilafazkannya.

Abdullah berazam untuk meninggalkan jalan-jalan maksiat. Hubungannya dengan Zila banyak menambahkan saham dosa Abdullah. Mengingati, merindui dan memandang Zila sering membawa kepada zina fikiran dan hati. Abdullah khuatir hatinya bertambah gelap dengan dosa. Oleh itu, Abdullah terpaksa bertegas dengan kemahuan nafsunya. Cukup sukar untuk Abdullah melakukannya namun Abdullah ikhlaskan hati. Semuanya demi mengejar cinta yang agung. Matlamat Abdullah semakin jelas kini. Hanya redha Allah yang akan dicari. Abdullah mengharapkan penghijrahan kali ini hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah SWT meredhai usaha Abdullah dalam mencari jalan kembali

sumber: iluvislam.com