Abdullah Umar memandang jam di dinding biliknya. Ahh... sudah jam
3.45 petang. Terkocoh-kocoh dia bangun menuju ke bilik air lalu mengambil
wudhu' untuk solat Zuhur. Leka benar dia dengan permainanCounter Strike di
komputer. Sudah menjadi kebiasaan Abdullah bersolat pada akhir waktu. Padanya,
tiada salahnya melewatkan solat. Solatnya masih sah sementelah ia masih dalam
had waktu yang dibenarkan untuk menunaikan solat.
Abdullah tahu bahawa lebih
afdal untuk menunaikan solat pada awal waktu namun dia kurang mengambil
perhatian akan itu. Dia juga tahu bahawa solat adalah amalan manusia yang
pertama akan dihisab oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak namun Abdullah
tetap begitu. Dia tetap liat untuk solat.
Dalam solat, kerap benar fikiran Abdullah menerawang hinggakan dia
terlupa sudah berapa rakaat telah disempurnakannya. Abdullah asyik memikirkan
permainan komputer yang dimainkannya sebentar tadi. Solatnya tidak khusyuk.
Kerap kali begitu. Sukarnya untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat! Ahh...
solat atau tidak sama sahaja. Tiada kesan pada Abdullah.
Abdullah berdoa ringkas. Doa dipanjatkan untuk ibu bapa dan
dirinya. Tidak pula dia mendoakan saudara seIslam yang lain. Abdullah sangat
mengetahui akan penderitaan dan penindasan yang berlaku kepada umat Islam di
Syria, Palestin dan Myanmar serta umat Islam yang lain namun Abdullah tidak
mendoakan keselamatan dan keamanan untuk mereka. Sebaliknya, Abdullah berasa
beruntung sendiri kerana berada di negara yang aman.
Sekiranya Abdullah berada di tempat mereka, pastilah Abdullah
mendambakan doa-doa daripada saudara seagama yang prihatin. Paling tidak, Allah
mendengar doa dan insya-Allah, Allah akan makbulkan doanya. Maka,
berkuranganlah perit derita yang mereka lalui. Umat Islam diibaratkan sebagai
satu anggota badan. Apabila peha kanan dicubit, peha kiri turut terasa. Derita
mereka sepatutnya menjadi derita Abdullah juga.
Abdullah juga seperti remaja lain yang mempunyai rasa ingin
dicintai wanita. Sudah lama Abdullah berpasangan dengan Zila. Perkenalan yang
membahagiakan itu terjadi ketika Abdullah dan Zila berada dalam semester dua
peringkat pengajian diploma. Setiap hari mereka menghabiskan masa berjam
lamanya untuk berbual sama ada melalui pesanan ringkas ataupun panggilan
telefon.
Walaupun mereka sering bertemu, rindu antara mereka tidak pernah
surut. Kerap kali mereka keluar berdua untuk makan bersama, menonton wayang dan
membeli-belah. Dalam pelajaran pula, mereka berdua merupakan pelajar cemerlang
di kolej mereka. Kebiasaannya pada setiap semester, CGPA mereka pasti di atas
3.50. Ramai rakan-rakan yang mencemburui kepintaran mereka, namun itulah rezeki
yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim
Allah SWT yang sentiasa memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya yang gigih
berusaha tanpa mengira tahap keimanan seseorang itu kepadaNya.
Walaupun begitu, jauh di sudut hati Abdullah ada terselit satu
perasaan tidak tenteram. Solat dan Al-Quran tidak berjaya menegahnya daripada
melakukan maksiat. Kadang-kala Abdullah mempersoalkan, jika solat menegah
manusia daripada melakukan kemungkaran namun mengapa dia masih melakukan dosa
dan maksiat. Di mana silapnya? Abdullah juga sering berzikir dan beristighfar
namun Abdullah tidak menemui ketenangan daripadanya.
Abdullah cuba mencari makna di sebalik firman Allah SWT iaitu
dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang namun mengapa Abdullah masih
jauh daripada ketenangan? Dek kerana mencari ketenangan, Abdullah mengunjungi
pusat karaoke, pusat snuker dan pernah sekali Abdullah ke kelab malam. Kunjungan
Abdullah ke sana menimbulkan amarah bapanya. Bukan sahaja gagal menemui
ketenangan yang dicari malah dirotan pula. Bapanya tidak dapat menerima
kenyataan bahawa anak sulungnya itu yang sepatutnya menjadi contoh dan
pelindung kepada adik-adiknya mengunjungi kelab malam!
Satu hari ketika Abdullah di kedai buku, Abdullah terdengar sebuah
lagu merdu yang didendangkan di radio. Abdullah segera mendekati corong suara
untuk mendengar dengan lebih jelas lagi.
"Jalan pulang bukannya mudah, musuh nafsu ajak menyerah,
mohon taufik mohon hidayah, agar selamat dari fitnah."
Bait-bait lagu tersebut menyentuh hati Abdullah. Rasa sayu
menggayut hati. Entah apa istimewanya lagu itu namun ia hampir-hampir
mengalirkan air mata Abdullah. Pulang ke rumah, Abdullah bermuhasabah diri. Dia
merasakan hidupnya selama ini banyak diluangkan untuk perkara sia-sia. Dia
sepatutnya menjadi khalifah Allah yang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW
namun banyak hal berkaitan Islam yang Abdullah abaikan.
Jauh benar beza dirinya dengan pemuda pada zaman Rasulullah SAW.
Pemuda seperti Saidina Ali RA sanggup menawarkan nyawa sebagai galang ganti
kepada nyawa Rasulullah SAW yang ingin dibunuh oleh Musyrikin Mekah. Betapa
teguhnya iman Saidina Ali RA!
Mengenangkan betapa lemahnya iman, air mata Abdullah mengalir
tanpa tertahan lagi. Segera, sejadah dicapai dan solat sunat taubat dilakukan.
Lama Abdullah bersujud sambil diiringi air mata yang deras mengalir. Pada Allah
ampunan diharapkan. Dalam doanya, "Saksikanlah Ya Allah, hari ini Abdullah
Umar datang menyerah diri dan mengakui segala dosa. Ya Allah, ampunkan aku.
Sungguh, aku sangat menzalimi diriku sendiri."
Abdullah memutuskan untuk bertemu Ustaz Hanafi, guru agama di
sekolahnya dulu. Abdullah tahu, Ustaz Hanafi pasti bersedia membantunya.
Apabila disoal tentang hidayah yang datang melalui lagu, kata Ustaz Hanafi,
"Jika lagu tersebut mengajak kepada keesaan Allah dan mendatangkan
keinsafan kepada kita, maka itulah hidayah daripada Allah. Abdullah,
bersyukurlah Allah mengurniakanmu hidayah. Hargailah... takut-takut ini hidayah
yang terakhir."
Abdullah pulang dengan hati penuh penyesalan. Abdullah bertekad
untuk memelihara hidayah yang diperolehinya. Ibu dan bapa Abdullah sangat
menyenangi perubahan Abdullah. Dinamakan Abdullah Umar sempena Khalifah Umar
bin Abdul Aziz yang soleh. Sudah tentu ibu bapanya mendambakan zuriat mereka
itu juga soleh.
Kini Abdullah fahami, kebaikan dan dosa tidak boleh dicampurkan.
Berpasangan dan melakukan perkara yang sia-sia yang lain menambahkan lalai di
hati Abdullah. Ia membuatkan Abdullah semakin jauh daripada cinta Allah.
Abdullah juga tidak merasakan kemanisan beribadah kepada Allah. Dia belajar
untuk bersyukur dan menghayati setiap bait zikir yang dilafazkannya.
Abdullah berazam untuk meninggalkan jalan-jalan maksiat.
Hubungannya dengan Zila banyak menambahkan saham dosa Abdullah. Mengingati,
merindui dan memandang Zila sering membawa kepada zina fikiran dan hati.
Abdullah khuatir hatinya bertambah gelap dengan dosa. Oleh itu, Abdullah
terpaksa bertegas dengan kemahuan nafsunya. Cukup sukar untuk Abdullah
melakukannya namun Abdullah ikhlaskan hati. Semuanya demi mengejar cinta yang
agung. Matlamat Abdullah semakin jelas kini. Hanya redha Allah yang akan
dicari. Abdullah mengharapkan penghijrahan kali ini hingga ke hujung nyawa.
Semoga Allah SWT meredhai usaha Abdullah dalam mencari
jalan kembali
sumber:
iluvislam.com

No comments:
Post a Comment